Sejarah Negeri Perak
|
Gua Tempurung
Dipercayai wujud sejak 8000 sebelum Masehi, Gua Tempurung boleh dikategorikan sebagai gua batu kapur semulajadi yang terbesar di Malaysia. Terletak kira-kira 24 kilometer dari Bandaraya Ipoh, gua ini mempunyai kelebaran sehingga 1.3 kilometer dan membentuk lima kubah yang sangat besar dengan bahagian siling yang menyerupai kulit kelapa. Setiap kubah mempunyai kelainan dari segi pembentukan stalagmit dan stalagtit serta suhu, tahap air, kandungan batu kapur dan batu marmar yang berbeza-beza.
Istana Kellie
Pemanduan selama 30 minit ke selatan Ipoh menghala ke arah Batu Gajah akan membawa anda ke Ladang Getah Kinta Kellas. Di tengah kehijauan rumput yang subur, tersergam sebuah istana impian separuh siap kepunyaan William Kellie Smith, seorang peladang berbangsa Scotland yang kaya-raya. Pembinaan yang bermula pada tahun 1915 ke atas istana besar yang mempunyai seni bina lain dari yang lain ini berhenti secara mendadak dengan kematian mengejut pemiliknya. Suasana misteri masih menyelubungi rumah besar yang menyeramkan ini. Adalah dipercayai istana ini juga mempunyai bilik-bilik rahsia dan terowong bawah tanah. Setelah 67 tahun berlalu, khabar-khabar angin tentang peristiwa misteri istana ini telah menguatkan lagi lagenda impian yang tidak kesampaian bagi William Kellie Smith. Lagenda ini jugalah yang telah memberi satu daya tarikan kepada istana ini untuk terus menjadi satu destinasi pengunjung yang bersejarah.Istana ini dibuka kepada kunjungan awam dari jam 8.30 pagi - 7.00 petang (setiap hari).
Kompleks Sejarah Pasir Salak
Terletak kira-kira 70 kilometer dari Bandaraya Ipoh, Kompleks Sejarah Pasir Salak merupakan satu memorial kepada sejarah terbilang Pasir Salak dan rakyat Negeri Perak. Pasir Salak mencatatkan sejarah penting di dalam pembangunan Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka kerana disinilah tempat bermulanya era nasionalisme orang Melayu. Pembunuhan Residen British Perak pada ketika itu, J.W.W. Birch telah mencetuskan peperangan di antara pihak Pentadbiran Kolonial British dan orang-orang Melayu. Walaupun kekuatan pihak British mengatasi kekuatan orang-orang Melayu ketika itu, namun ini tidak dapat menghalang sentimen yang telah menular ke setiap sanubari orang Melayu yang sememangnya dahagakan kebebasan dan kemerdekaan. Perjuangan ini berterusan sehinggalah Tanah Melayu berjaya mendapatkan deklarasi kemerdekaan daripada pemerintahan kolonial British.
Penubuhan Kompleks Sejarah ini adalah untuk mengenang kembali sejarah pahit dan perjuangan getir pahlawan-pahlawan Melayu seperti Datuk Sagor dan Datuk Maharajalela dalam menentang penjajahan, melalui satu memorial khas yang dibina dengan bentuk replika "sundang", salah satu jenis senjata Melayu yang telah digunakan di dalam pembunuhan J.W.W. Birch.
Di antara kandungan menarik Kompleks ini adalah kubur J.W.W. Birch, tempat bersemadinya Sipuntum, orang yang bertanggungjawab membunuh Birch, kubu Datuk Maharajalela, meriam "Lela Rentaka" yang telah digunakan didalam pertempuran menentang askar-askar British, 2 buah replika Rumah Kutai, sebuah rumah tradisional Melayu dan kedai cenderamata serta kaunter pertanyaan.
Kompleks Sejarah Pasir Salak ini telah dibina di tepi Sungai Perak dan pada kebiasaannya menjadi tempat tumpuan untuk aktiviti-aktiviti air selain daripada tempat bersejarah. Kompleks ini dibuka setiap hari termasuk cuti umum kecuali pada hari Jumaat dari jam 9.00 pagi hingga jam 4.30 petang.
Kadar bayaran kemasukan adalah RM 5.00 untuk dewasa dan RM 3.00 untuk kanak-kanak diantara 6-12 tahun
Kadar bayaran kemasukan adalah RM 5.00 untuk dewasa dan RM 3.00 untuk kanak-kanak diantara 6-12 tahun
Menara Condong Teluk Intan
Dikatakan menyamai Menara Condong Pisa di Itali, Menara Condong Teluk Intan di tengah-tengah bandar Teluk Intan menjadi satu kebanggaan bagi Malaysia dan salah satu tempat tarikan pelancong yang terkenal. Seperti Menara Condong Pisa, Menara Condong Teluk Intan juga condong ke arah kirinya.
Tegak berdiri pada ketinggian 25.5 meter, pembinaan terperincinya memberi satu pandangan bahawa ianya terdiri daripada 8 aras. Namun, jika ianya dilihat daripada bahagian dalamnya, seseorang pengunjung itu pasti akan menjadi kehairanan jika didapatinya ketinggian menara tersebut hanyalah kira-kira setinggi tiga tingkat sahaja.
Struktur yang menyerupai pagoda ini telah dibina pada tahun 1885 oleh seorang kontraktor Cina bernama Leong Choon Chong, dan pada awal pembinaannya, ia digunakan untuk menempatkan tangki air bagi kegunaan kawasan setempat. Kini, ia berdiri megah sebagai satu binaan bersejarah dan akan terus menjadi satu daya tarikan pengunjung ke Teluk Intan.
Masjid Ubudiah
Terletak di atas Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Masjid Ubudiah merupakan salah sebuah masjid yang tercantik di negara ini dan menjadi simbol keagungan dan peradaban Islam di Perak. Kubah dan menara emas masjid yang tersergam indah membuktikan keindahan dan keunikan senibina masyarakat Islam.
Pembinaan masjid ini bermula semasa pemerintahan Sultan Idris Murshidul Adzam Shah 1, Sultan Perak yang ke-28, tetapi telah tergendala untuk beberapa ketika. Peristiwa dua ekor gajah kepunyaan Sultan Idris dan Raja Chulan yang berlari di atas lantai marmar yang diimport dari Itali, lantas merosakkannya serta Perang Dunia Pertama adalah dua sebab utama tergendalanya projek pembinaan tersebut. Masjid ini kemudiannya telah dibuka secara rasmi oleh Sultan Jalil Karamatullah Shah pada tahun 1917.
Bukit Larut (Maxwell Hill)
Bukit peranginan yang indah dan menawan ini dahulunya dikenali sebagai Maxwell Hill. Deretan banglo-banglo penginapan telah disediakan, bersesuaian dengan semua golongan, samada yang masih bujang ataupun yang telah berkeluarga. Diliputi oleh kabus tebal dan bunyi cengkerik dari hutan sekeliling pengunjung boleh menikmati keindahan pemandangan Bandar Taiping dari celahan awan-awan yang bergerak yang menambahkan keindahan semulajadi di Bukit Larut. Di puncaknya juga terdapat air terjun yang boleh dinikmati oleh pengunjung untuk pengalaman percutian yang lebih menyeronokkan.
Hutan Rekreasi Kuala Woh
Terletak 13 km dari Pekan Tapah, Hutan Rekreasi Kuala Woh mudah dikunjungi dengan adanya kemudahan jalanraya yang sempurna. Ia merupakan peluang yang tidak boleh dilepaskan bagi sesiapa yang gemar menikmati keindahan flora dan fauna hutan tropika. Hutan Rekreasi ini menyediakan denai-denai penerokaan hutan yang lengkap, lantas menawarkan perjalanan dan pengembaraan hutan yang menarik, ditambah pula dengan keseronokan untuk melihat kupu-kupu spesis "Rajah Brooks" di dalam habitat semulajadi mereka. Hutan Rekreasi Kuala Woh juga menyediakan kawasan perkelahan kolam air panas semulajadi di Lubok Merbau.
Selain itu, jambatan gantung sepanjang 30 meter yang merentasi Sungai Batang Padang membolehkan pengunjung menikmati pemandangan yang menarik daripada bahagian atas jambatan menjadi satu daya penarik yang unik bagi hutan rekreasi ini
No comments:
Post a Comment